Monday, August 5, 2013

Keadaan.

Salam...

"If you lose your purpose, it's like you're broken. " - Hugo Cabret.

Kelmarin keadaan aku dengan organisasi kembali macam dulu kala. Sakit. Tapi setiap kali keadaan jadi macam itu lah, aku makin nekad. Keadaan itu aku dah biasakan diri dulu, cuma aku dah lama tak lalui kedaan itu. Sekarang balik macam dulu lagi. Hmph...

Sesetengah benda aku masih belum faham.

Dulu keadaan jadi macam ini sebab aku tak matang, kiranya. Lepas itu ada perubahan. Makin dewasa, aku rasa keadaan bertambah baik. Mungkin sebab aku pun makin matang. Sebab tempoh agak lama banding dengan sebelum-sebelumnya, aku kira keadaan memang dah baik.

Sebab itu sesetengah benda aku masih belum faham.

Lepas suatu tempoh hidup dengan senang hati, dengan tak perlu hadapi perkara-perkara dulu lagi, kenapa ya... dalam sekelip mata. Tak sempat buat apa, tiba-tiba kepala aku sakit macam dulu balik, hati aku sebal macam dulu balik. Keadaan jadi macam dulu balik.

Sebabnya apa? Sebab aku dah kembali tak matang kah... Tak pasti. Matang itu berubah-ubah, kah? Kejap matang kejap tak matang... boleh ke macam itu? Ada ke?

Lupakan pasal matang. Kadang-kadang rasa macam benda-benda buruk itu jadi sebab aku. Tak kadang-kadang. Selalu. Sampai dah tak tahu apa nak fikir. Mana pergi tawakkal. Mana pergi redha. Mana pergi usaha. Mana pergi cuba. Sampai-sampai aku tanya-tanya kenapa keadaan kena jadi macam dulu balik. Aku bukannya kecil lagi, aku dah 21. Paling teruk, kenapa hadapi keadaan itu, respon aku macam ini? Mana tahu kalau aku respon cara lain, kesan tak perlu jadi macam ini...

Maaf kamu boleh berhenti di sini. Ini bukan cerita lagi, cuma cetusan peribadi.

Bosan lah aku. Penat dah aku keliru. Jemu dah kena tipu. Lali dah aku rayu. Organisasi tetap, masih macam itu. Salah aku tak nak terima, tak nak biasakan diri. Kadang-kadang aku cuma nak hidup normal. Normal yang tak menyakitkan. Harapan itu, kalau salah bawa takut terlajak kufur nikmat. Tak syukuri apa ada depan mata. Sebab itu aku kata, aku pun dah tak tahu apa nak fikir.

Kebetulan... entri ini aku tulis di rumah sepupu. Organisasi yang masih jaga tradisi. Organisasi yang aku cemburu. Macam mana abang kakak gaduh-gaduh dengan adik-adik. Macam mana reaksi sesama adik-beradik. Yang benar. Yang mungkin bagi mereka perkara biasa tapi tak terfikir, dalam diam aku kagum lihat mereka. Lapang sungguh rasa bila tengok organisasi mereka. Aku yang dramatik sangat, kah? Benda kecil macam itu pun nak kagum. Mungkin kalau kamu membesar di komuniti yang individualistik, kamu boleh fahami ini.

Setakat ini dulu lah, perkembangan terbaru yang kembali ke keadaan dulu ini. Lelah berbalah, macam biasa aku larikan diri. Terpaksa pekakkan bila mereka perlekehkan pilihan aku untuk larikan diri. Aku dah larikan diri dari keadaan ini sejak dulu. Sejak lama yang aku ingat. Selagi keadaan itu masih begitu, aku akan terus larikan diri. Sebab setiap kali larikan diri lah, aku ditemukan dengan perkara-perkara yang buat aku lebih syukuri hidup. Kalau larikan diri boleh buat aku lebih bersyukur, apa rasionalnya aku berpaling kepada keadaan yang buat aku berputus asa dengan hidup?

Keadaan seperti ini.

Ada masa nanti aku cuba tulis perkara positif lagi. Buat masa ini, maaf kebanyakannya negatif. Maaf sekali lagi.