Bila kawan datang aku terima masuk dalam hidup aku. Cuma itu yang aku mampu. Untuk aku jemput dengan rela hati terbuka, itu tak mungkin berlaku. Sebab aku cuma tahu yang itu tak akan lama. Jemputan aku biasanya sementara, entahkan mereka yang memang tak mahu lama atau aku yang tak biasa. Jadi hanya bila mereka sanggup merendah hati meminta masuk kotak selesa aku yang sempit, aku dengan lapang hati terima mereka masuk dan berkongsi ruang segenap dimensi.
Paling penting, aku tak mahu tersalah memberi jemputan. Biarlah aku tersalah beri izin untuk masuk, tapi jangan aku yang tersalah menjemput masuk. Kerana yang minta untuk masuk itu, setidak-tidaknya aku sekadar memenuhi permintaannya untuk masuk. Alangkan yang aku jemput masuk itu, apa kebaikan yang aku buat padanya kalau jemputan itu tidak benar?
Kawan memang aku tak cari. Mungkin sebab itu ada kalanya aku bosan. Tapi kawan yang datang aku tak buang. Dengan cara itu aku cuma ada kawan yang mahu tinggal dalam kekacauan aku. Yang mahu main bersama dalam keserabutan aku. Memang. Kadang bosan. Tapi cukuplah dengan apa yang ada. Dan mampu bertahan pun kerana bumi masih luas.
No comments:
Post a Comment