Wednesday, August 17, 2011

4 musim aku...

salam.

maaf, kawan... aku selalu balik sekarang.
maaf, bila kalian ajak aku, aku tolak.
maaf, bila aku ajak kalian, aku hilang.

itu antara salah2 aku sekarang.

dalam hidup aku ada 4 musim,
meski dalam negara aku cuma ada 2 musim.
2/4 musim itu pada keluarga
1/4 musim itu pada hari-hari
1/4 musim itu pada destini.

musim kemarau. mungkin pada hari-hari aku, yang mana sepanjang kemarau banyak yang terjadi bahkan perkara-perkara yang bukan kehendak aku. ada momen-momen yang mengejutkan, macam bila suhu dunia lebih tinggi dari suhu normal yang sudah sedia panas. selebihnya momen-momen yang aku lalui dengan biasa, macam bila suhu adalah normal.

musim sejuk. aku andaikan ini pada destini aku, yang mana aku keluar dari kebiasaan hari-hari yang aku lalui dan cari ketidakbiasaan yang berbeza. macam keluar dari musim kemarau dan nikmati rasa sejuk di tempat lain, sebab sejuk tiada di musim kemarau.

musim luruh dan musim bunga. ini dalam keluarga, yang mana ia berubah ikut masa. macam berubahnya dari musim luruh ke musim bunga.

apa kaitan musim-musim ini dengan keadaan aku sekarang? ada...

aku lalui hari-hari yang kemarau
          dengan semua yang kacau
                    tapi aku dah tak risau
          sebab biasa dah dengan galau.

aku cari musim sejuk
          bila hati mula berlekuk
                    tinggalkan kemarau buruk
          leraikan semua rajuk.

aku hadapi musim luruh
          yang sejak dulu memang keruh
                    yang sentiasa buat hati luluh
          walau seribu kali aku mengeluh
                    segalanya tetap begitu angkuh.

aku hadapi musim luruh
          dengan segala macam gaduh
                   dengan segala harga peluh
          sampai akhirnya aku sekukuh buluh
                   akibat sering merasa jatuh.

kerana itu bila tiba musim bunga
          aku kejar dengan sesungguhnya
                   kerana maknanya tamatlah luruh dan lara
          meskipun aku tahu ia cuma sementara
                   aku mahu terus dapat merasa
          selagi masih ia ada.

jadi tolong beri aku  peluang dan ruang
kerana keluarga aku sedang musim bunga
meski aku sedar ada antara kawan yang hadapi musim luruh
tapi tunggulah, kawan...
nanti kau akan jumpa musim bunga
kerana keluarga mungkin kau merana
kerana keluarga juga kau akan bahagia.

  musim bunga tak akan lama
       jadi biar aku merasa sementara ia ada
  bila nanti ia berlalu
       bila nanti musim luruh kembali
  aku akan pulang menghadapi kemarau.

jadi sebab ini lah aku selalu balik sekarang...
maaf eh, kawan... sebab dah tak selalu spend dengan korang.

No comments:

Post a Comment