Sekali kau dah buat keputusan, banyak peluang lain yang nampak lebih baik akan datang kemudian. Sedangkan masa kau tunggu lama, bayang-bayang pun tak nampak. It applies to almost everything in life. Tawaran kerja, bisnes, dan banyak lagi benda lain, bahkan tunang dan kahwin pun macam tu. Cuba tengok satu-satu.
Kalau dalam hal tunang dan kahwin, ada disebut keadaan macam ni timbul sebagai ujian. Lepas bertunang lelaki/perempuan akan diuji dengan pasangan yang lebih baik. Jadi aku fikir kalau dalam tunang ujiannya macam tu, jawapannya kemungkinan besar adalah tetap dengan pendirian dan cari perkara-perkara baik pasal tunang tu. Aku tahu ada sedikit tabu kalau aku bercakap hal-hal macam ni, memandangkan aku biasanya akan skeptik. Tapi untuk kali ni, buat masa ni, aku cuba neutral (in effort to go easy in such things instead of making it hard for me and everyone around me). Jadi tak kira macam mana 'lebih baik' nya pun orang yang baru kita jumpa lepas tunang, itu ujian masa bertunang. Aku fikir kat sini Allah nak ajar kita hargai apa yang kita ada walaupun tak indah mana. Sebab indah tak indah tu atas pertimbangan kita sendiri.
Macam mana kalau tunang tu memang tak baik mana pun, takkan tak boleh tinggalkan langsung? Susahlah kalau lepas kahwin dia masih macam tu...
Bukan tak boleh tinggalkan/putuskan. Maksudnya kalau nak putus tu biar sebab perkara-perkara macam dia tak solat, tak tanggungjawab, kaki pukul, panas baran dan lain-lain yang memang asalnya dari dia. Bukan putus sebab kau jumpa orang yang lebih baik. Sebab agak tak adil kalau kau cuma buat dia jadi tangga untuk kau pergi lebih tinggi, naik lebih atas. Lagipun kalau dia memang macam tu, sebab tu sebelum terima kau patut fikir lama, bukannya terima dulu baru kau fikir patut kahwin ke tak. Tunang tu dah kira macam janji nak kahwin tahu, orang lain pun tak boleh kacau tunang orang. Jadi bukannya boleh putuskan suka-suka. Macam tu lah lebih kurang.
Sementara tu, dalam hal bisnes, Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhari kata masalah orang Melayu dalam bisnes adalah hilang fokus. Bila buat satu perniagaan suka lompat ke 'peluang yang lebih baik' kononnya. Sedangkan bisnes yang pertama tadi baru setakat boleh jalan. Memang bila kita buat satu bisnes kita akan selalu nampak atau jumpa peluang yang lebih baik, tapi pesan dia, sebelum kejar peluang yang lebih baik tu, kukuhkan dulu bisnes yang pertama. Biar kalau bisnes yang kedua atau ketiga dan seterusnya tu tak jadi (gagal kan sebahagian proses belajar), kita boleh balik ke bisnes pertama tadi. Lepas tu boleh usaha dan cuba lagi banyak kali. Yang penting yang pertama tu jaga baik-baik. Ini pesan usahawan Melayu terkaya di Malaysia - pesaing-pesaing dia majoriti bukan Melayu pun. Dia je lah.
By the way, bila masuk sini pensyarah banyak kali cakap dalam kelas, yang TLDM bukan pilihan cita-cita yang baik. Tak boleh aku pangkah terus, sebab itu kata orang yang hidup lagi lama dari aku jugak. Ada betulnya pun apa yang diorang cakap tu. Tapi hati aku dah kat situ, aku pun dah selalu tanya orang samada patut kerja buat benda yang kita suka walaupun gaji sikit, atau patut kerja yang gaji banyak walaupun bukan benda kita suka. Pernah satu masa, aku terima yang kerja lain mungkin aku tak berminat sebab aku tak kenal. Itu pun ada betul jugak. Tapi lepas berfikir lebih, tak kira jauh mana aku melencong, tak kira aku tukar macam mana pun tentang apa yang aku nak jadi lepas habis belajar, tak kira macam mana pun, habis satu masa aku tetap kembali kat angan-angan jadi TLDM. Sekarang kau fikir, dah dalam mana benda ni meresap dalam hati? Benda dari hati susah nak ubah. Jadi iya... aku akan kejar yang ini.
Tapi kalau memang bukan itu rezeki yang Allah nak bagi kat aku, paling tak pun aku dah ada senarai backup. Sebab Allah lagi tahu navy tu terbaik tak untuk aku. Aku cuma kena sedia lah, kalau dapat Alhamdulillah. Kalau tak dapat aku tak patut melatah. Untuk elak aku melatah tu lah, kena sedia benda lain. Sebab aku dah pernah rasa, bila Allah betul-betul tutup jalan aku walaupun aku tak give up, benda macam tu memang boleh jadi. Jangan rasa bila kau dah usaha sehabis mungkin tu kau komfem dapat. Tak. Dan jangan jugak rasa bila tak dapat tu hidup kau hancur. Tu pun tak jugak. Tapi memang akan rasa macam tu kalau kau tak sedia dengan backup plans. Sakit. Sangat. Tapi kalau kau sedia backup plan dan yakinkan diri yang Allah lagi tahu, in sha Allah semuanya baik-baik je.
Jadi kalau bukan rezeki aku jadi TLDM, aku nak cari syarikat-syarikat Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary. Sebab syarikat-syarikat macam ni, pemilik dia orang yang sangat tegar bantu orang Melayu. Bukan sebab aku nak dia tolong aku dapat kerja ke apa, tak. Tapi sebab aku harap aku dapat tolong dia tolong orang Melayu. Macam drama kan aku? Tak kisahlah. Aku harap dapat kekalkan ni dalam pemikiran aku, sebab tu aku tulis kat sini. Biar nanti bila lupa aku diingatkan balik.
Image via The Daily Reminder |
Jadi pilih yang terbaik, sebelum kau buat keputusan. Bukan selepas kau buat keputusan.... ok?
No comments:
Post a Comment